Dari sekecil makhluk hingga sebesar makhluk semuanya bertasbih memuji Allah
September 22, 2009
AlQuran dan sains, Bicaraku
Allah, atom, galaksi, makhluk, matahari, nama Allah, sistem suria, tasbih
19 Komen

Assalaamu’alaikum w.b.t……. Saya sudah
lama menulis tentang perkara ini, tetapi saya tulis dalam Bahasa
Inggeris di blog lain. Saya ingatkan telah menulisnya dalam Bahasa
Melayu, rupa-rupanya belum. Saya cari-cari tidak jumpa. Maka saya cuba
lah tulis kembali tentang semua mahkluk bertasbih memuji Allah S.w.t.
Semoga saudara-saudara agama lain pun mendapat pengajaran darinya
insyaAllah

Allah telah menunjukkan kepada kita semua terlalu banyak bukti tentang kewujudannya termasuklah Nama-nama Allah
pada bermacam makhluk. Kebanyakan bukti tersebut hanya dapat dilihat
dengan menggunakan akal yang dianugerahkan terhadap ciptaanNya yang
terbaik iaitu manusia.
Dari alam mikro hinggalah ke alam makro,
daripada sekecil-sekecil makhluk iaitu ATOM, hingga sebesar-besar
makhluk seperti matahari dan bintang-bintang lain yang lebih besar
seperti Sirius, Pollux, Arturus, Rigel, Aldebaran, Betelgeuse, Antares
dan sebagainya, semuanya membuktikan kewujudan Allah dan bertasbih
memujiNya.
“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al Hadid : Ayat 1

Konsep ATOM, di mana Elektron
mengelilingi Neukleus (Proton dan Neutron) adalah sama dengan konsep
planet-planet mengelilingi matahari dalam sistem suria (Solar System)
kita, begitu juga dengan sistem suria kita pula beredar mengelilingi
Galaksi Bima Sakti (Milky Way Galaxy) dan begitulah seterusnya. Sungguh
amat luas alam semesta ini, tiada siapa yang dapat menjangkaunya
melainkan Allah S.w.t.
Bagaimana semua itu dapat beredar di
dalam paksi dengan elok sekali, tanpa lari dari garisan orbitnya dan
melencong ke arah lain? Sudah tentu lah ada yang mengawalnya.
Konsep ATOM, planet-planet dan sistem
suria tadi sama lah konsepnya dengan umat Islam tawaf di Kaabah di Kota
Mekah Al Mukarramah. Umat Islam tawaf mengelilingi Kaabah sambil
memuji-muji Allah , maka begitu juga lah Atom, planet-planet dan sistem
suria tadi, semuanya beredar di atas paksi (tawaf) sambil memuji-muji
Allah. Dan ketahuilah, tiada tempat di dunia ini yang selama 24 jam
sehari dipenuhi orang tawaf tanpa henti bergilir-gilir begitu,
SubhanAllah. Begitu juga jika dilihat pada suatu AZAN yang dilaungkan
apabila masuk waktu solat, ianya sentiasa berkesinambungan tanpa henti
dari satu tempat ke satu tempat di seluruh dunia ini mengikut
waktu-waktunya. Dengan kata lain, AZAN itu diibaratkan bunyi
membesarkan Allah yang tawaf mengelilingi Bumi tanpa henti, masyaAllah.

Maka sekaligus sains sendiri telah
membuktikan kebenaran ayat-ayat dalam AlQuran tersebut. Sesungguhnya
segala makhluk di dunia ini bertasbih memuji Allah, hanya kita sahaja
yang tidak tahu bahasa mereka. Dan yang lagi sedihnya, hanya MANUSIA
sahaja yang ramai tidak suka malah langsung tidak memuji Allah,
terutamanya orang-orang yang tidak beriman.
“Langit yang tujuh dan bumi serta
sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah;
dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi
kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha
Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Surah Al Israa’ : Ayat 44

Kaabah letaknya bersetentangan / selari dengan masjid para malaikat di langit iaitu Baitul Ma’mur
dan bersetentangan dengan Arasy Allah di langit ke tujuh. Maka umat
Islam bukan mengelilingi Kaabah kerana menyembah Kaabah , tetapi
penyatuan segala HATI menuju ALLAH. Mengadap ke arah Kaabah hanya lah
mengadap kiblat, yang mana kiblat itu secara terus menuju kepada Allah
S.w.t.
Walaubagaimana pun manusia sendiri tidak
sedar betapa tubuh mereka sendiri sebenarnya BERTASBIH memuji Allah.
Kerana apa? Kerana setiap makhluk termasuk manusia terdiri dari susunan
ATOM. Gabungan dari ATOM-ATOM lah yang membentuk pelbagai makhluk
termasuk kita manusia. Bermakna ATOM-ATOM pada tubuh kita sentiasa
bergetaran , tetapi pada ukuran yang sangat halus yang kita tidak nampak
dengan mata kasar.
Elektron sentiasa mengelilingi Nukleus di
dalam ATOM, dan dengan ini lah disabitkan bahawa mereka itu tawaf
sambil memuji-muji Allah S.w.t.

Begitu juga dengan kicauan dan siulan
burung, ombak menghempas pantai, bunyi deruman air terjun, suara-suara
serangga dan sebagainya, tidakkah semua itu menenangkan jiwa jika
mendengarnya? Itulah kerana mereka semua itu sedang berzikir
(zikrullah), bertasbih memuji Allah, kerana itu jika kita mendengarnya
maka jiwa kita pun turut merasa ketenangannya insyaAllah.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman
dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (ingat Allah)”.
Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar Ra’d : Ayat 28
“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al Hasyr : Ayat 1
“Segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai
(sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al Jumu’ah : Ayat 1
“Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa), sentiasa bertasbih
kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta
burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia
mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan
ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa
yang mereka lakukan.” Surah An Nuur : Ayat 41
Sehinggakan guruh dan petir juga adalah memuji Allah;
“Dan Dia lah juga yang guruh dan
malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga
yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada
sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta
mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan
kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.” Surah Ar Ra’d : Ayat 13
Dan banyak lagi ayat AlQuran yang
menyebut tentang segala makhluk bertasbih memuji Allah. Maka adakah kamu
masih tidak mahu bertasbih memuji Allah dan masih memuji
makhluk-makhluk lain? Bukti telah jelas diberikan sama ada secara
rohani mahupun saintifik, adakah kamu masih ragu-ragu?
“Sesungguhnya yang sebenar-benar
beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang
apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka
segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan
menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan
mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” Surah As Sajdah : Ayat 15
Semoga kita kembali mentauhidkan Allah
dengan sebenar-benarnya. Cintai Allah, cintai Rasul, cintai kedua orang
tua, sayangi manusia dan segala makhluk. Peace, love and justice for all

Tidak ada komentar:
Posting Komentar